18 Feb 2015

Filled Under:

Pemimpin Seperti Salman

Selepas kewafatn Rasulullah S.A.W, Salman al-Farisi dilantik sebagai pemimpin Madain, iaitu sebuah wilayah di Iraq. Walaupun bergelar amir, keadaan beliau tidak berubah. Malahan, beliau menolak gaji yang patut diterimanya sebagai amir. Sebaliknya, beliau memperoleh wng hasil menganyam daun kurma. Pakaiannya pula hanya sehelai baju luar, dalam kesederhanaan dengan baju usangnya.
Beliau pernah ditanya: "Apakah yang menyebabkan tuan tidak menyukai jawatan sebagai amir?"
Beliau menjawab, :" Kerana manis sewaktu memegangnya, tetapi pahit sewaktu melepaskannya!"
Pada suatu hari, ketika sedang berjalan, beliau didatangi seorang lelaki dari Syam yang membawa sepikul buah tin dan kurma. Beban itu amat berat. Apabila dia melihat Salman dengan penampilan yang amat sederhana, dia memikirkan yang Salman ialah orang biasa. Dia terfikir untuk mengupah Salman mengangkat beban tersebut. 
Ini buah tin.
Dia mengisyaratkan Salman supaya datang kepadanya. Salman menurut dengan patuh. "Tolong bawakan barang-barangku ini!"
Salman memikul barang-barang tersebut dan mereka berjalan bersama-sama. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan satu rombongan. Salman memberi salam kepada mereka. Rombongan tersebut membalas dalam keadaan berhenti: "Juga kepada amir, kami ucapkan salam."
"Juga kepada amir? Amir yang mana mereka maksudkan?" Orang dari Syam itu tertanya-tanya dalam hati. Kehairanannya kian bertambah ketika dilihatnya sebahagian anggota rombongan segera menuju ke arah lelaki yang diupahnya untuk membantu memikul beban yang dipikul itu. Mereka berkata: "Berikanlah kepada kami, wahai amir!"
Sekarang barulah orang Syam itu tahu bahawa kuli yang diupahnya itu bukan sembarangan orang. Beliau ialah Salman al-Farisi, amir kota Madain. Dia menjadi gugup. Kata-kata penyesalan dan kemaafan terbit daipada bibirnya.
Dia mendekat untuk mengambil beban itu dari tangan Salman, tetapi beliau menolak sambil menggelengkan kepala dan berkata, : "Tidak, sebelum aku hantar sampai ke rumahmu!"
Pada waktu yang lain pula, seorang sahabat memasuki rumah beliau yang amat sederhana. Ketika itu beliau sedang duduk menguli tepung. Maka sahabat itu bertanya, "Di manakah pembantumu?"
Beliau membalas, "Saya sudah menyuruhnya untuk melakukan sesuatu tugasan, maka saya tidak mahu dia melakukan pekerjaan yang berlebihan kerana itu menyusahkannya."
*amir-pemimpin
Petikan daripada Majalah Solusi, Isu 76

0 komen:

Catat Ulasan

Hakcipta @ 2015 Blog BADAR SainsKu.