Berani kacau brader nama Muhammad bin Abdullah?
Siapa sahaja yang berani buat apa-apa kepada Nabi Muhammad, maka perlulah dia face-to-face dengan Abu Thalib. Muhammad bin Abdullah ialah kecintaan dan kesayangan pak ciknya itu, jangan berani nak calar guris kulit baginda, nak sentuh pun kena fikir seribu kali!
Walaupun dengan wujudnya pelindung Nabi Muhammad itu, namun ada sahaja orang-orang besar Quraisy yang masih berani nak kacau-kacau Nabi. Namun setelah sampai berita Nabi Muhammad kena kacau itu, confirm kena sound oleh Abu Thalib. Haaa, jangan main-main dengan pemimpin terbesar Bani Hasyim itu! Kacau kecintaan Abu Thalib, kena cari sampai ke lubang cacing oleh Abu Thalib lah jawabnya.
Hendak dikatakan, tiada siapa pun yang berani nak cari pasal dengan Nabi Muhammad dek kerana takutnya dengan kelibat Abu Thalib. Abu Thalib adalah kubu teguh memelihara dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh.
Terbitlah secebis kegembiraan di hati Nabi dengan kehadiran Abu Thalib di sisinya walaupun ajakannya kepada Abu Thalib untuk masuk Islam ditolak. Nabi Muhammad tahu, baginda hanya mampu untuk dakwah namun Allah yang memberi taufiq hidayah.
Begitu juga kita, jangan sedih andai orang tidak terima dakwah kita namun sebaliknya berdoalah banyak kepada Allah agar memberi kepadanya taufiq dan hidayah. Tapi jangan pula bangga kalau dakwah dah berjaya, kena ingat Allah yang bagi taufiq hidayah, kita hanya menyampaikan sahaja!
Kegembiraan dengan adanya Abu Thalib ditambah lagi dengan krimmer manis kebahagiaan iaitu kehadiran Siti Khadijah.
Siti Khadijah, nama yang indah. Pernah mendapat kiriman salam special khas yang dikirim oleh Malakat Jibril daripada Allah. MasyaAllah seronoknya dapat salam daripada Allah.
Hendak dikatakan pentingnya Siti Khadijah ini dalam kehidupan Nabi Muhammad, dia selalu ada di kala Nabi Muhammad suka, di kala Nabi duka.
Jika Nabi Muhammad mendengar umpatan, kejian dan caci maki yang dilontarkan kepada baginda, Allah menghilangkan segala kesedihan itu melalui Khadijah binti Khuwailid. Isteri tercintanya itu akan menjadi pemberi motivasi kepada baginda, meringankan beratnya bebanan di bahu baginda dan meningkatkan semangat dakwah Rasulullah.
Ketika Nabi senyum gembira Khadijah ada, ketika Nabi nangis berduka pun Khadijah ada. Terciptanya Abu Thalib dan Siti Khadijah ialah satu hadiah teristimewa dalam kehidupan Nabi Muhammad!
Ingat tak kisah Nabi Muhammad dan para sahabat kena pulau selama 3 tahun berturut-turut?
Kasihan bukan? Selepas sahaja enam bulan peristiwa tragis itu, ada satu lagi peristiwa tragis menimpa Nabi Muhammad keseorangan. Apa lagi yang lebih sedih dan tragis selain daripada pemulauan oleh masyarakat selama 3 tahun!?
Bayangkan, seorang yang sentiasa bersama kamu di kala kamu dicemuh hina telah tiada. Telah tiada yang bukan sementara namun selamanya. Tekalah apa yang dihadapi Nabi...
Mati. Kematian Abu Thalib...
Nyawa kehidupan di kala sesak kesusahan dah tiada, dijemput Tuhan. Mana mungkin air mata tiada. Sedih duka kerana pak cik kesayangan sudah tiada.
Di dalam dilemma itu, Alhamdulillah Khadijah ada. Menjadi isteri yang menyeri serta mewarna warnikan kedukaan baginda ketika itu.
Alhamdulillah Khadijah ada, Rasulullah masih rasa bahagia. Dialah wanita yang menjaga, wanita menyelimutkan baginda di kala baginda menggigil ketakutan dari Gua Hira'.
Alhamdulillah Khadijah ada, Rasulullah rasa gembira. Walaupun sudah tiada pak cik kesayangan, telah diambil tuhan.
Namun.
Alhamdulillah itu menjadi Innalillah. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un kerana dia telah pergi setelah tiga hari Abu Thalib pergi.
Siapa dia?
Khadijah. Khadijah binti Khuwailid.
Sesungguhnya Khadijah ialah salah satu nikmat yang terbesar Nabi pernah dapat, kini ditarik Allah semula. Allah mahu Khadijah bersama-Nya. Itu ketentuan-Nya maka Khadijah tidak lagi bersama baginda.
Khadijah tinggal bersama Nabi Muhammad selama suku abad. Bayangkan bersama kesayangan 25 tahun masihi dan kini hilang tiada di sisi. Bayangkanlah...
Selama suku abad itu Khadiahlah yang membantu baginda ketika suasana getir dan sukar, membantu baginda menyebarkan risalahnya, menyertai baginda membayar harga jihad yang pahit serta mengorbankan kepentingan diri dan harta kekayaannya yang berlambak itu. Segala demi Rasulullah...
Satu kata-kata Cinta dari baginda untuk si dia:
"Dia beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakan aku, dia berkongsi denganku harta kekayaannya ketika orang ramai menghalangku, dan Allah mengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya..."
Abu Thalib pergi.
Khadijah pergi.
Hati gembira Rasulullah juga pergi.
Yang tinggal hanyalah sedih sunyi sepi.
Mereka berdualah penguat kaki baginda untuk berdakwah, namun kini sudah di jemput Ilahi.
Mereka berdualah menjadi inspirasi dan motivasi baginda untuk meneruskan syariat Ilahi.
Dua peristiwa yang menyedihkan hati ini berlaku dalam beberapa hari sahaja. Ianya menggamit perasaan sedih dan pilu dalam jiwa Rasulullah.
Setelah itu bertalu-talu musibah yang datang kepada baginda daripada kaumnya.
Mereka menyakiti Rasulullah secara terbuka selepas tiadanya Abu Thalib. Manakan tidak, orang yang selama ini melindungi baginda sudah tiada, maka kekejaman bermaharajalela! Mereka terus menerus mengkhianati Rasulullah setiap kali yang mereka mampu...
Dek kerana perkara itu, bertambahlah dukacita demi dukacita sehingga baginda sudah putus harapan dengan mereka. Selama ini baginda tidak pernah berputus asa, tapi mungkn sebab dua orang kesayangan baru sahaja pergi, maka semangat itu juga pergi.
Dalam kesedihan dan kehibaan itu, Rasulullah tetap juga berdakwah. Berdakwah di mana?
Taif.
Itulah tempat di mana Nabi Muhammad cedera sehingga darah merah baginda memenuhi kasut baginda. Darah mengalir sebanyak itu kerana Rasulullah telah dilempar dengan batu-batu yang banyak oleh anak-anak muda di Taif.
Abu Thalib pergi.
Khadijah pergi.
Dakwah di Mekah di tolak,
Dakwah di Taif ditolak.
Namun dialah Rasulullah...
Kesedihan yang pahit menjadi tawar, kerana adanya iman yang kuat di hati.
Iman di hati menjadikan kesakitan dihentam musuh menjadi kemanisan.
Iyaa, kerana adanya Allah yang menciptakan Abu Thalib.
Allah juga yang menciptakan Khadijah kesayangan baginda.
Allah ada, cukuplah bagi Nabi Muhammad.
Allah sumber kekuatan baginda, sumber inspirasi dan motivasi teragung.
Mengapa baginda perlu bersedih pada awal-awalnya!?
Benar, Rasulullah juga manusia seperti kita.
Ada perasaan sedih, gembira, duka, cemburu dan sebagainya.
Namun Rasulullah ialah permata intan antara batu jalanan.
Paling indah warnanya antara kita, manusia yang hina.
Andai kita di tempat Nabi Muhammad, apakah kita akan sekuat baginda?
Rasulullah pilihan Allah...
Menjadi kekasih Allah, kecintaan Allah.
Sollualannabiy!
#KisahInspirasiNabi #ElDaie #KINED
---
Tambahan.
Abu Thalib tidak masuk Islam.
Sesungguhnya Rasulullah telah sedaya upaya ingin dia masuk Islam agar dapat masuk Syurga bersama baginda kelak namun tidak juga dia menjadi seorang muslim.
Yaa benar, Rasulullah telah berdakwah, Rasulullah telah ajak. Rasulullah hendak Abu Thalib menjadi seorang muslim walau dengan cara apa sekalipun...
Namun Allah menegur Nabi Muhammad:
إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُوَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Surah Qasas : 56
Rasulullah hanya mengajak, berdakwah.
Namun Allah sahaja yang ada autoriti memberi hidayah.
Allah tidak beri hidayah kepada Abu Thalib walaupun Kekasih-Nya bermati-matian mahukannya bersama baginda di Syurga.
Doa Nabi Allah tidak perkenan.
Namun Allah tidak hampakan Nabi, Allah bagi hadiah:
Abu Thalib sepatutnya masuk Neraka paling bawah sekali, masuk neraka yang sangat panas. Tapi berkat doa Nabi Muhammad, Abu Thalib masuk neraka yang cetek dan masuk neraka yang sejuk.
Moga bermanfaat.
Moga Allah Redha,
Nabi Muhammad suka.